KEMELUT sama ada kekasih terbaru Pierre Andre, Maya Darina Dahlan Hain wujud atau sekadar ilusi hampir menemui jawapannya apabila pelakon, penulis skrip dan pengarah filem muda itu berjaya dijejaki di lokasi penggambaran semula filem Jangan Tegur di sebuah banglo mewah di Taman Bukit Indah, Ampang, tengah malam Isnin lalu. Ia bertujuan dalam usaha mendapatkan pengesahan daripadanya sama ada Maya atau Elie atau Molie atau Melia adalah orang sama.
Penulis bersama jurugambar, Affendi Mohamed disertai wakil Melodi TV3 - Michalle Wee dan jurukamera, Shazwani mendapat maklumat, Pierre yang selama ini ‘menyembunyikan’ diri daripada bertemu pihak media gara-gara dakwaan bercinta dengan gadis dikenali sebagai Maya Darina, sedang menyelesaikan penggambaran hari terakhir Jangan Tegur pada 22 September lalu.
Kedatangan kami ke lokasi penggambaran, sememangnya tidak mendapat undangan sesiapa kerana dikhuatiri Pierre akan menghilangkan dirinya. Team ‘terjah’ B*Pop dan Melodi tiba di perkarangan banglo kira-kira jam 10 malam. Kami menyelinap masuk ke banglo berkenaan apabila menyedari Pierre bersama beberapa krew berada di anjung menyiapkan rutin penggambaran mereka. Setibanya di tingkat satu banglo itu, kami mendapati pelakon utama Jangan Tegur, Julia Ziegler yang disolek watak hantu baru saja menyelesaikan salah satu babaknya. Namun, kelibat Pierre masih belum kelihatan. Kami berlegar-legar di hadapan sebuah bilik yang dipercayai Pierre berada di dalamnya. Hampir 10 minit menunggu, team kami didatangi Pengurus Produksi (PM) Jangan Tegur, Mokharul Shamsul Mokhtar atau Aseh. Aseh menyambut baik kedatangan kami, sekali gus meminta supaya tidak mengganggu Pierre sehingga dia menyiapkan baki penggambarannya hari itu. Sementara menunggu peluang sesuai bertemu Pierre, kami dipelawa minum oleh Pengarah Penasihat Jangan Tegur, Ahmad Idham. Selepas hampir empat jam kami ‘berembun’, akhirnya jam 2 pagi barulah produksi berkenaan berhenti rehat.
Peluang berkenaan digunakan untuk bertemu Pierre di tingkat atas banglo berkenaan. Setibanya di situ, Pierre dilihat berada di muka pintu satu bilik sambil bersembang dengan Julia. Salam diberi, Pierre menoleh ke arah kami, dia bersalaman dengan Michelle dan penulis. Kami memberitahu Pierre tujuan bertemunya. Namun, agak mengejutkan, Pierre kemudian tidak mempedulikan kami dan terus membelakangkan kami untuk menyambung semula perbualannya bersama Julia! Pada masa itu penulis menegur Pierre dengan nada tegas apabila tingkah lakunya itu dilihat tidak profesional.
“Saya ada hak untuk berdiam diam! ini personal, saya tak mahu cakap apa-apa,” kata Pierre apabila menyedari penulis bengang dengan tindak tanduknya. “Saya lebih suka diam, terima kasih kerana datang,” kata Pierre menjawab pertanyaan Michelle yang mahukan dia berterus terang mengenai perkara sebenar, terutama isu berkaitan cintanya dengan gadis bernama Maya.
Wartawan kejar Pierre
Tidak semena-mena Pierre terus bergegas menuruni tangga dalam usahanya melarikan diri daripada kami. Penulis, Affendi, Michelle dan Shazwani terus mengejar Pierre hingga ke perkarangan rumah. "Pierre, ini bukan you!,” kata Michelle apabila melihat Pierre terus berjalan laju tanpa menghiraukan pertanyaan media. Selama mengenali Pierre, dia sentiasa menghormati orang yang lebih tua daripadanya dan mudah mesra, namun pagi itu sikap Pierre begitu agresif terhadap media, mengejutkan kami!
“Pierre kau komen gambar ni, siapa perempuan ni? Kita nak penjelasan apa yang berlaku selama ini, apa yang berlaku pada Faizal Tahir, Farah Asyikin, Farid Kamil dan terbaru dengan Pierre Andre?,” kata penulis sambil menunjukkan kepada Pierre gambarnya bersama seorang wanita yang dikatakan sebagai Elie atau Molie atau Melia, sekali gus mendakwa dirinya Maya Darina, anak orang kaya sedang mengidap penyakit jantung!
“Nothing to say...,” kata Pierre yang sebelum itu merenung tajam ke arah penulis yang seolah-olah menahan geram. Mujur saat itu Aseh yang berada di sisi Pierre menghalang sebarang kemungkinan yang tidak diingini sambil mengurut lembut belakang badan Pierre.
'Jangan sentuh saya!'
“Saya okey, saya shooting, setakat ini projek akhir saya ialah Jangan Tegur. Saya kena reshoot sebab ada masalah teknikal. Tak ada apa-apa yang terjadi pada saya. Tiap-tiap minggu keluar cerita yang nak jual surat khabar,” kata Pierre seperti menuduh pihak media memaparkan kisah Maya Darina dengan tujuan semata-mata mahu melariskan jualan akhbar.
“Don’t touch me!,” kata Pierre kepada Michelle yang cuba menghalang pergerakannya menuju ke kereta.
Pierre terus meninggalkan pihak media yang masih menanti jawapannya. Tanpa mempedulikan rayuan penulis dan Michelle supaya dia tidak pergi, Pierre terus masuk ke keretanya model Chevrolet Aveo warna putih dengan nombor pendaftaran WLW 7266. Ketika mengundurkan keretanya dengan laju, ia nyaris terkena kaki Michalle dan Shazwani yang jaraknya tidak sampai 30 sentimeter dari tayar kereta berkenaan!
Pierre terus memecut laju keretanya, sekali gus meninggalkan set pwenggambaran Jangan Tegur sekalipun penggambaran belum selesai, sementara pelakon lain dan krew masih berhenti rehat makan tengah malam (supper break). Sikap Pierre yang bertindak agresif dan tidak menghormati media, jelas memperlihatkan dia tidak profesional menangani gosip mengenai dirinya dengan Maya Darina.