Yana bangkit perjelas artikel kisah cinta baru Pierre yang turut kaitkan namanya
"SAYA terkejut apabila membaca artikel 'Pierre Andre temui cinta baru' yang disiarkan menerusi B*Pop terbitan 24 Ogos lalu apabila ia turut mengaitkan nama saya. Begitu cepat cerita seumpama itu dihidu pihak media. Sebenarnya pada awal pembabitan saya dalam industri hiburan sekitar 2004, ketika itu saya dalam proses menghasilkan album sulung dan pada masa sama menjayakan telefilem, Tarian Melayu Terakhir. Saya berlakon bersama Pierre Andre. Dari situ hubungan kami jadi rapat. Lama kelamaan hubungan kami jadi lebih serius, kami bercinta tapi tidaklah sampai merancang hendak kahwin. Sehinggalah pada awal 2007 ketika Pierre berlakon dan mengarah filem 9 September, hubungan kami menjadi dingin, percintaan kami seolah-olah dilanda badai. Pierre tiba-tiba 'senyap'. Pada masa sama heboh orang bercakap Pierre berkawan rapat dengan seorang aktres popular. Mungkin dah tak ada jodoh antara kami. Namun, kami akhirnya bertemu kembali selepas lapan atau sembilan bulan terputus hubungan. Pada akhir 2007, saya dapat tawaran daripada Metrowealth (MIG) untuk mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta! apabila Pierre turut berlakon, sekali gus bertindak sebagai penulis skrip. Kami dipertemukan dalam filem selepas terputus hubungan. Tak ada apa-apa yang berlaku, kami bekerja secara profesional. Hanya baru-baru ini ketika saya sibuk menjayakan penggambaran Syurga Cinta, sebagai Penolong Pengarah 2, ketika itu sekitar akhir Jun, pada masa itu jugalah Pierre ada menyatakan hasratnya untuk kembali kepada saya sebelum dia ke Jakarta bersama Julia Ziegler menjayakan filem usaha sama Malaysia-Indonesia, Teman Selamanya.
Pierre akui kesilapan lalu
Sebelum Pierre ke Jakarta juga, kami berhubung agak kerap, berbalas SMS dan sebagainya. Kami banyak berbincang soal filem, ketika itu juga Pierre baru selesai penggambaran Jangan Tegur. Apabila sudah ada interaksi antara kami, ketika itu Pierre meluahkan hasratnya untuk kembali ke pangkuan saya. Pierre mengakui kesilapan lalu dan dia minta maaf. Namun, ketika itu saya belum membuat sebarang keputusan untuk menerima Pierre kembali atau sebaliknya. Bagi saya, apabila Pierre sudah membuat keputusan menjauhkan dirinya daripada saya tahun lalu, maksudnya dia harus menerima apa saja keputusan selepas ini. Cerita cinta kami yang dingin sudah tersebar sebelum ini, jadi tak takut ke orang cakap apa nanti kalau Pierre nak kembali kepada saya, Pierrekata dia tak takut. Tak bimbangkah cerita cinta kita akan jadi bahan media, Pierre kata dia tak kisah. Saya tidak memberi sebarang harapan kepadanya. Pun begitu, dalam masa sama, saya terdengar desas-desus dia berkawan rapat dengan Julia Ziegler. Saya tidak tahu sejauh mana status perhubungan mereka, justeru tidak mudah lagi saya mempercayai kata-kata Pierre.
Terima SMS daripada Maya
Ketika Pierre berada di Jakarta, pada awalnya dia terus memujuk saya untuk kembali kepadanya. Tapi, saya tetap dengan pendirian, tidak mudah terpedaya dengan kata-katanya lagi. Apa yang saya dapat tahu, ketika itu Pierre masih berkawan rapat dengan Julia (Ziegler). Lama kelamaan, Pierre 'senyap', saya pun tak tahu dia dah balik ke Kuala Lumpur atau belum. Tidak lama kemudian, ada beberapa kenalan, meminta saya membaca blog Maya - gadis yang dikatakan teman wanita baru Pierre. Dalam blog itu mengandungi ayat-ayat cinta antara Maya dan Pierre. Saya juga berpeluang melihat wajah Maya, dia bukan artis, tapi gadis di kalangan orang biasa. Saya difahamkan, nama penuh Maya ialah Maya Darina Dahlan Hain. Pada suatu peringkat, Maya ada mengirimkan SMS kepada saya, dia agak marah kononnya saya ingin merosakkan hubungannya bersama Pierre. Dalam satu daripada SMS itu juga ada menyatakan Maya dan Pierre akan membuat pengumuman terbuka mengenai perhubungan yang terjalin itu. Ketika itu, saya tak mahu campur apa-apa lagi.
'Jangan permainkan perasaan saya'
Akhirnya selepas saya membuat pengakuan bahawa Pierre pernah menyatakan hasratnya untuk kembali ke pangkuan saya dalam rancangan Kring-Kring terbitan Astro Ria siaran 24 Ogos lalu, Pierre ada menghubungi saya. Pun begitu, butiran perbualan kami, saya tak boleh nyatakan di sini, terlalu peribadi. Namun, saya hairan apabila Pierre tidak mahu menjawab panggilan Aznil Nawawi ketika dia dihubungi Kring-Kring. Saya tak tahu, kenapa Pierre tidak mahu berterus-terang. Apa agendanya, saya tidak pasti. Saya juga ada menerima SMS daripada Maya selepas Kring-Kring. Antara lain, Maya minta maaf dengan saya kerana dia tidak tahu Pierre pernah menyatakan hasratnya untuk kembali kepada saya sebelum mereka bertemu. Sekarang, antara saya dan Pierre sudah tidak ada apa-apa, terpulanglah kepadanya untuk menjalin hubungan dengan sesiapa saja. Cuma, apa yang saya kesalkan, Pierre tak perlulah mempermainkan perasaan saya pada awalnya apabila menyatakan hasrat untuk kembali kepada saya. Jangan jadikan saya 'spare tyre' atau pilihan terakhir. Saya ada maruah dan harga diri. Namun, saya doakan Pierre bahagia bersama cinta barunya."
No comments:
Post a Comment